Ruang Iklan Percuma: www.sabahsell.com

Berita SMS Tentang Pepsi dan Darah Pekerja Tercemar HIV





Kami masih lagi mengikuti dan mengulas perkembangan mengenai berita SMS Pepsi dan HIV kerana berita ini nampaknya semakin meluas diperkatakan di mana-mana. Lihat post awal kami tentang perkara ini. Sekarang ini, ramai rakan kami telah mendapat panggilan daripada ibu bapa mereka dari kampung yang menasihati agar mereka tidak meminum sebarang minuman tin buat masa ini gara-gara berita SMS tersebut.

Berita SMS tentang Pepsi dan darah HIV pekerjanya nampaknya sudah merebak sehingga ke kampung-kampung dan kawasan-kawasan pedalaman. Masyarakat luar bandar menunjukkan reaksi yang sangat serius terhadap berita SMS ini. Tindakan spontan mereka apabila mendapat SMS tentang Pepsi dan HIV ini ialah menghubungi (bukan setakat SMS) anak-anak dan saudara mara terdekat mereka yang berada di bandar untuk memastikan agar mereka tidak meminum segala jenis minuman tin tertamanya Pepsi. Reaksi mereka terhadap perkara ini adalah sangat serius seolah-olah penyakit AIDS sedang merebak dengan cepatnya melalui minuman tin. Reaksi seperti ini adalah tidak menghairankan kerana masyarakat di pedalaman mempunyai tahap kefahaman yang berbeza mengenai penyakit AIDS dan juga "corak" penggunaan alat telekomunikasi seperti telefon bimbit. Cara mereka memproses maklumat juga adalah berbeza dengan cara "orang bandar" kerana mereka mempunyai sumber rujukan yang terhad. Jadi, kami tidak dapat mengulas lebih banyak mengenai reaksi mereka kerana itulah tindakan terbaik yang mereka dapat lakukan di dalam keadaan tersebut.

Apa yang menyedihkan ialah, kami mendapati rakan-rakan yang berprofil tinggi (yang  terpelajar, berjawatan tinggi dan golongan profesional) turut membantu menyebarkan khabar angin ini. Apabila ditanya, mereka berkata bahawa berita ini telah disiarkan oleh NTV7. Walhal, mereka sendiri tidak pernah melihat berita tersebut dan hanya memetik kata-kata daripada khabar angin itu sendiri. Walau bagaimanapun, seperti yang telah kami tulis sebelum ini, motif kebanyakan orang mengirim SMS tersebut kepada rakan-rakan mereka ialah kerana mereka sayang akan rakan-rakan mereka. Ini memang tidak dapat dinafikan. Walau bagaimanapun, untuk menunjukkan bahawa anda sayangkan rakan anda, anda mungkin sepatutnya mula mengirim mesej yang berbunyi "Jika anda menerima SMS tentang seorang pekerja Pepsi telah menambahkan darahnya yang tercemar dengan HIV ke dalam minuman Pepsi, jangan percaya SMS tersebut kerana khabar tersebut adalah tidak benar dan tidak berasas".

Kami bukan hendak membela syarikat Pepsi. Pepsi tiada sebarang kaitan dengan kami. Pepsi tidak pernah memberikan minuman percuma kepada kami walau setitikpun. Kami hanya ingin menggalakkan masyarakat agar memproses segala maklumat dengan lebih teliti sebelum mempercayainya. Adakah perkara ini sangat serius sehinggakan kami menulis mengenainya dengan serius? Itu bergantung kepada orang yang mendapat SMS Pepsi HIV ini. Kami tidak faham kenapa masyarakat pada hari ini lebih cenderung mempercayai khabar-khabar angin tidak berasas yang disebarkan melalui SMS, email dan facebook berbanding dengan berita-berita daripada TV3 dan sebagainya. Walau bagaimanapun, jika ada sesiapa yang mengatakan bahawa saluran-saluran berita perdana seperti TV3 dan sebagainya "sukar" dipercayai, kami faham perasaan anda. -SSOK Team

SSOK links
Sabah Sell. Advertise for Free. Guaranteed Ads Impression.
Malaysia Financial Blog. Guest Blog for Backlinks.